SHAH ALAM - Kerajaan menegaskan tidak akan campur tangan dalam sebarang keputusan badan kehakiman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menekankan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan individu yang dilantik dalam badan kehakiman benar-benar layak dan berintegriti.
"Saya pastikan agar jangan campur urusan badan kehakiman dalam membuat keputusan, tapi kita mahu yang dilantik ini cukup berwibawa, bebas, serta tidak terjerumus dengan kepentingan perniagaan dan rasuah.
"Ini tanggungjawab kerajaan sebab kita kena jawab dalam Parlimen dan kepada rakyat.
"Saya tak campur, dan ada beberapa proses lain yang kita bincang. Ini bukan bermakna Perdana Menteri, menteri betul atau pun hakim semua betul," katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Ahad.
**media[3047677]**
Turut hadir pada kongres itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; serta Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia dalam resolusinya pada Sabtu mengutuk keras sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif, legislatif, atau mana-mana individu dan entiti lain yang berusaha mengatasi Perlembagaan Persekutuan serta perundangan dalam pelantikan kehakiman.
Resolusi itu turut menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat secara menyeluruh dan telus ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan (OLY) pada Januari lalu.
Dalam perkembangan lain, Anwar menempelak pihak yang masih memainkan sentimen perkauman untuk membangkitkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, tindakan sebegitu sudah lapuk dan hanya dilakukan oleh golongan yang terdesak dalam politik.
"Adakah mereka tidak kenal DAP? Dalam Pakatan Rakyat dulu, hampir 15 tahun Pas bersama DAP. Semasa Pakatan Harapan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang sekarang dalam Bersatu pun pernah duduk semeja dengan pimpinan DAP.
"Apakah luahan mereka itu satu kenyataan yang benar? Ia sebenarnya datang daripada golongan yang terdesak. Ini yang dikatakan 'desperado' dalam politik.
"Tak ada kritikan dasar atau pandangan baru, tapi mereka bawa gendang lama menakutkan orang Melayu mengenai kemaraan kelompok Cina, apatah lagi yang diperjuangkan dengan lambang DAP," jelasnya.